Tuesday 6 March 2012

Situasi 2 : Bahasa jiwa bangsa


          Pelbagai perkataan yang kurang sopan akan mudah dilontarkan apabila emosi dengan mudahnya menguasai diri. Dalam keadaan diri yang kurang sabar akan menyebabkan seseorang dengan mudahnya akan memaki hamun orang lain dengan menggunakan perkataan yang kurang sopan tanpa memikirkan kesannya. Situasi ini saya alami sewaktu menaiki bas untuk pulang ke kolej kediaman setelah tamat kuliah. Pada waktu-waktu kemuncak, mahasiswa atau mahasiswi terpaksa berasak-asak atau berebut antara satu sama lain untuk memastikan dirinya dapat menaiki bas seterusnya pulang ke rumah dengan segera. 

          Oleh kerana pada waktu tersebut ramai mahasiswa atau mahasiswi yang telah tamat kuliah, maka secara tidak langsung mereka terpaksa berebut-rebut untuk cepat pulang ditambah lagi dengan cuaca yang panas. Sewaktu mereka berebut-rebut untuk menaiki bas, terdapat segelintir pelajar yang kurang sabar yang lebih suka mengeluarkan perkataan-perkataan yang kurang enak untuk didengari. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh sikap pelajar lain yang suka bertolak-tolakan tanpa memikirkan orang lain dan hanya mementingkan diri sendiri semata-mata. Antara perkataan yang sering kali disebut ialah ‘cepat sikit, boleh’, ‘sabar la’, ‘woi jangan tolak la,’ ‘lembabnya la’, dan ‘relax lu’. 

          
          Adakah perlu kita menggunakan bahasa yang kurang sopan apabila berada dalam keadaan marah? Rasanya tidak perlu kerana bagi sesetengah orang, perkataan-perkataan yang digunakan ini sangat tidak enak untuk didengari kerana sebagai mahasiswa atau mahasiswi kita haruslah bijak untuk mengawal emosi dan tidak terlalu mengikut perasaan sehingga menggunakan bahasa yang kurang sopan. Bersabarlah wahai teman kerana sabar itu indah.

Kawan-kawan, bahasa itukan indah kenapa perlu gunakan bahasa yang kurang sopan apabila kita kurang bersabar. Jika kita pandai mengawal emosi, maka semuanya dapat di atasi. Oleh itu, gunakanlah bahasa yang sopan untuk hidup selesa. Bahasa jiwa bangsa.


No comments:

Post a Comment