Monday 12 March 2012

Situasi 6 : Bahasa rojak


       Kini penggunaan bahasa rojak dalam kehidupan seharian semakin jelas ketara. Penggunaan bahasa rojak sering kali saya dengar terutama ketika barada di dalam kelas, sewaktu menunggu bas dan sebagainya. Seperti yang kita ketahui, bahasa rojak merupakan percampuran bahasa yang digunakan semasa bertutur. Antara contoh bahasa rojak ialah 'I tak tahu menahu pasal event tu! Tak sorang pun invite kita orang' dan 'I dah lama tunggu u, mana u pergi?'. Percampuran pelbagai bahasa dalam pertuturan dilarang dalam hukum bahasa, namun ramai penutur bahasa Melayu yang sangat gemar dan selesa menggunakannya.

Selain itu, penyampai radio serta penulis lirik tidak terkecuali dari menggunakan bahasa rojak. Keadaan seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana golongan seperti ini sangat dekat dengan masyarakat disebabkan perkara yang disampaikan oleh mereka secara tidak langsung akan menjadi ikutan dalam masyarakat. 

          Menurut Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak, penggunaan bahasa rojak dalam kalangan generasi muda ketika berkomunikasi terutama dalam majlis formal kian meruncing kerana penggunaan bahasa rojak secara tidak langsung akan mengikis identiti bahasa Melayu yang indah kerana masyarakat lebih kerap menggunakan bahasa rojak dalam kehidupan seharian. Oleh itu, saya berpendapat bahawa kita perlulah mengawal penggunaan bahasa rojak dalam kehidupan seharian kerana penggunaan bahasa Melayu yang betul sangat penting terutama dalam majlis-majlis formal. Jika kita terlalu asyik menggunakan bahasa rojak, maka secara tidak langsung akan merosakkan bahasa Melayu yang tersedia indah dan unik.

No comments:

Post a Comment